Menu

 

A+ A A-

SOLAT ORANG SUDAH BERKAHWIN LEBIH AFDAL?

Benarkah solat orang sudah menikah lebih afdal daripada solat orang yang masih bujang? Saya ada mendengar perkara ini dari satu ceramah agama. Adakah terdapat hadis yang berkenaan dengan hal ini?

Jawapan : Terdapat beberapa hadis Nabi yang kononnya menyebut perkara sedemikian. Namun kesemuanya sangat lemah dan tidak boleh dijadikan hujah. Bahkan sebahagian daripada riwayat-riwayat itu tanpa diragui lagi adalah palsu. Berikut ini saya sebutkan dua hadisnya:

Hadis 1

Diriwayatkan oleh Mujasyi‘ bin ‘Amr daripada Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam daripada bapanya daripada Anas bin Malik daripada Nabi: “Dua rakaat solat orang yang telah berkahwin itu lebih afdal daripada 70 rakaat orang bujang.” Hadis ini sangat lemah. Berkata al-Uqaili: “Mujasyi‘ hadisnya munkar, tidak mahfuz.”

Hadis 2

Diriwayatkan oleh Yusuf bin Safar daripada al-Awza‘i daripada Yahya bin Abi Kathir daripada Abu Salamah daripada Abu Hurairah bahawa Nabi bersabda: “Orang yang paling buruk antara kamu ialah orang yang membujang. Dua rakaat solat yang dilakukan orang yang berkeluarga lebih afdal daripada 70 rakaat orang yang membujang.”

Abu Zur’ah dan al-Nasa’i berkata: “Yusuf bin Safar matruk hadisnya.” Al-Bukhari berkata: “Beliau pernah berdusta.” Ibn al-Jauzi dan ulama hadis lainnya menilai kedua-dua riwayat ini mauduk iaitu palsu.

SOLAT KAWIN1

Khusyuk Masalah Hati

Soalan : Namun secara realiti ada benarnya maksud hadis tersebut. Orang yang sudah menikah biasanya lebih khusyuk dalam solatnya. Hal ini disebabkan jiwanya lebih tenteram kerana tuntutan fitrah sebagai manusia dari sudut emosi dan seksual telah dipenuhi.

Jawapan :Dalam disiplin ilmu hadis, perhatian utama adalah berkenaan status kesahihan nisbah riwayat tersebut kepada Nabi. Kita bertanya: “Benarkah kata-kata itu pernah diucapkan Nabi atau tidak?” Untuk itu, para ulama memiliki mekanisme kajian riwayat yang dikenal dengan nama ilmu kritik hadis (naqd al-hadith). Kajian yang dijalankan oleh ilmu ini sangat teliti dan komprehensif sehingga diiktiraf benar-benar dapat menjaga keaslian hadis daripada sembarang pemalsuan dan kesilapan. Adapun menilai kandungan hadis berdasarkan dengan realiti, logik, sains dan lain-lain, maka itu sama sekali bukanlah penentu kesahihan sebuah hadis.

Andaikanlah cara ini diterima, nescaya pepatah, peribahasa dan formula sains boleh dinisbahkan sebagai hadis Nabi selagi kandungannya selari dengan realiti. Hal ini tentu sahaja tidak dapat diterima pakai. Tambahan pula, khusyuk ialah masalah hati. Tidak semua orang yang sudah kahwin boleh khusyuk dalam ibadah. Tidak sedikit antara mereka yang runsing fikirannya dek memikirkan nafkah, bil elektrik, anak sakit, dan pelbagai masalah lainnya. Sebaliknya, bukan semua orang bujang tidak dapat khusyuk dalam solat.

Bahkan sebahagian mereka malah mendapat kenikmatan ibadah dan keluasan ilmu. Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah, seorang pakar hadis dari Syria, pernah menulis sebuah buku yang menghimpunkan kisah-kisah para ulama yang hidup membujang seperti Imam al-Nawawi, Ibn Taymiah dan lain-lain. Buku itu bertajuk: al-‘Ulama al-‘Uzzab Allazina Atharu al-‘Ilma ‘ala al-Zawaj yang bermaksud para ulama bujang yang memilih ilmu berbanding berkahwin.

SOLAT KAWIN2

Setengah Agama

Soalan : Bukankah dengan menikah barulah kita dapat sempurna agama? Kalau tidak silap, ada hadis yang mengatakan seperti itu.

Jawapan : Ya. Ada hadis yang mengatakan seperti itu tetapi sanadnya tidak sahih. Hadis ini diriwayatkan oleh Yazid bin Aban daripada Anas daripada Nabi: “Apabila seorang hamba berkahwin, maka sempurnalah setengah agamanya. Maka bertakwalah kepada Allah untuk setengahnya yang selebihnya.” Hadis ini juga riwayatkan melalui jalur sanad yang lain iaitu daripada

Abdul Rahman bin Zaid daripada Anas bin Malik. Namun baik Yazid bin Aban mahupun Abdul Rahman bin Zaid, kedua-duanya merupakan perawi yang sangat lemah. Ramai ahli hadis menilainya matruk al-hadith (hadisnya mesti ditinggalkan).

Menjaga Nabi

Soalan : Saya keliru. Kalau hadis-hadis ini tidak sahih, adakah ini bermakna bahawa agama kita tidak menggalakkan umatnya untuk berkahwin?

Jawapan :Sama sekali tidak betul kesimpulan seperti ini. Menjelaskan kelemahan hadis-hadis ini bukan bermakna saya tidak menggalakkan perkahwinan. Perintah untuk menikah sangat banyak disebutkan dalam hadis-hadis lain yang benar-benar sahih. Bahkan ia sunnah Baginda tanpa diragukan lagi. Orang Islam sangat digalakkan untuk menikah agar terjaga kesucian dirinya dan memperbanyak bilangan umat Islam. Matlamat perbincangan tentang hadis adalah untuk menjaga Nabi daripada kedustaan yang dinisbahkan kepada Baginda. Haram untuk kita mengatakan bahawa Nabi pernah berkata sesuatu yang tidak pernah Baginda ucapkan sama sekali. Inilah kewajipan yang mesti ditanggung oleh orang yang berilmu.

Wallahu a‘lam.

 

 

Ust Umar Muhammad Noor

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 10

 


 

Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas