Menu

 

A+ A A-

BAHASA DAKWAH

Tegas Dalam Dakwah

Soalan:

ADA ustaz yang begitu tegas dengan pendiriannya. Apa yang dirasakan itulah yang dinyatakan. Hingga kadang kala menyebabkan timbul rasa tidak senang pada segelintir orang. Namun ada juga ustaz yang bercakap dengan menjaga hati pendengarnya. Hingga kadang kala pendiriannya dalam satu-satu isu tidak jelas. Antara bersikap tegas dan menjaga hati, manakah yang lebih baik?

Jawapan:

Kedua-duanya sama mustahak. Pendakwah harus tegas dalam berpesan dan menyampaikan risalah. Namun cara penyampaiannya itulah perlu bijaksana, halus, persuasif dan menyenangkan. Dakwah mempunyai bahasanya sendiri. Ia bersifat halus dan sopan sebagaimana bahasa Nabi Musa a.s. terhadap Firaun.

Firman Allah yang bermaksud: “Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan dia beringat atau takut.” (Surah Taha 20: 43-44)

Pernah suatu ketika Khalifah al-Ma’mun Ibn Harun al-Rasyid didatangi oleh seorang pendakwah. Si pendakwah itu mengkritik dan menghentamnya dengan bahasa yang amat keras dan pedas sekali. Setelah itu al-Ma’mun menjawab: “Nasihatilah aku dengan sopan kerana Firaun itu lebih jahat daripada aku manakala Musa a.s. itu lebih baik daripada kamu. Meskipun begitu, Musa a.s. menggunakan bahasa yang lunak.”

Para nabi dan rasul ketika menyeru kaum masing-masing sering kali menggunakan ungkapan “ya qaumi” (wahai kaumku). Ia satu ungkapan yang memberi unsur kemesraan dan keakraban. Biar betapa degil pun, para nabi tetap menisbahkan mereka sebagai kaumnya.

Memaafkan bukan Memusuhi

Soalan:

Tetapi ada juga pendakwah yang bukan setakat tegas, tetapi lantang dan keras bicaranya dalam menyampaikan dakwah. Apa pandangan ustaz?

Jawapan:

Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam salah sebuah makalahnya menolak sama sekali sikap keras dalam berdakwah. Menurutnya hanya pada dua tempat sahaja Islam mengizinkan kita bersikap keras:

1. Ketika melaksanakan hukum Allah ke atas penjenayah.

2. Ketika berdepan dengan musuh dalam peperangan.

bahasa-dakwah-1

Sebagai pendakwah, kita dituntut agar berjiwa besar dan sedia berbuat kebaikan kepada orang yang menyakiti kita. Sifat pendakwah bukan pendendam, tetapi pemaaf yang kaya dengan rasa simpati terhadap manusia sasaran dakwahnya.

Tokoh pendakwah terulung abad ini; Imam Hasan al-Banna pernah mengamanatkan satu mutiara hikmah: “Jadilah seperti pohon berbuah. Biarpun dibaling batu, ia tetap menggugurkan buahnya kepada si pembalingnya.” Bukan sekadar nasihat, Hasan al-Banna telah membuktikan prinsipnya sendiri. Beliau dicatatkan dalam sejarah sebagai seorang pendakwah yang tidak pernah memusuhi sesiapa. Beliau tidak rela menjatuhkan darjat dan maruahnya dengan sikap suka bermusuh-musuhan. Beliau sering mengingatkan rakan-rakannya dalam arena dakwah yang kadangkala tidak dapat menahan marah: “Ke mana perginya orang yang dapat mengawal marah? Dan ke mana perginya mereka yang suka memaafkan orang?”

Tindakan pendakwah yang gemar mengambil sikap memusuhi orang yang tidak sealiran dengannya atau mereka yang menolak usaha dakwahnya adalah satu kesilapan besar. Kita sepatutnya sentiasa mengharapkan kebaikan buat mereka serta menaruh harapan agar mereka berubah.

Allah berfirman yang bermaksud: “Katakanlah, ‘Wahai hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa kesemuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.’” (surah al-Zumar 39: 53)

Ambillah teladan daripada sikap Rasulullah s.a.w. yang mendoakan orang yang memusuhi Baginda: “Ya Allah! Berikanlah petunjuk kepada kaumku, sesungguhnya mereka tidak tahu.”

Pernah berlaku satu dialog antara Syeikh Muhammad al-Ghazali dengan Imam Hasan al-Banna. Al-Ghazali ketika itu masih seorang mahasiswa yang bersemangat tinggi. Beliau bertanya kepada Hasan al-Banna: “Mengapa kita tidak membenci si polan dan si polan?” Hasan al-Banna segera menoleh dan merenung wajahnya dengan serius lalu berkata: “Jangan sesekali menaruh kebencian terhadap seseorang! Kamu boleh membenci perbuatan mereka. Namun doakanlah petunjuk buat mereka. Bukankah setelah terjadi tragedi Uhud, Rasulullah lantas berdoa: ‘Ya Allah! Berikanlah petunjuk kepada kaumku. Sesungguhnya mereka tidak tahu.’” (Syeikh Muhammad al-Ghazali, Dustur al-Wahdah al-Thaqafiyyah Baina al-Muslimin)

Ayuh, jadikanlah diri kita pendakwah yang:

1. Bertaring tidak mengerkah.

2. Berkuku tidak mencakar.

3. Berpengetahuan tidak membodohkan.

4. Berani tidak melesi.

5. Besar tidak melendat.

6. Bertaji tidak memupur. Selamat berbudiman dalam dakwah!

Badli Shah Alauddin

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.5


Ustaz Badli Shah Alauddin

Sarjana Muda Usuluddin dan Dakwah (Tafsir al-Quran) Universiti al-Azhar. Kini sedang melanjutkan pengajian Sarjana Sains di Universiti Malaysia Terengganu.Merupakan Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan di Jabatan Agama Islam Pahang. Mendapat bimbingan langsung kemahiran menyampaikan dakwah daripada Prof. Dr. Abd al-Mun‘im Subhi Abu Shu‘ayshi‘ Abu Dunya, tokoh ulama Mesir.

Kembali ke atas