Menu

 

A+ A A-

SAMPAIKAN WALAU SEPOTONG AYAT

ADAKAH kewajipan menyeru kepada perkara makruf dan mencegah kemungkaran itu merupakan tanggungjawab golongan tertentu sahaja? Adakah ia wajib atau sunat?

Amar makruf dan nahi mungkar yang bermaksud menyeru makruf dan mencegah kemungkaran merupakan satu tanggungjawab yang diwajibkan kepada umat Islam dan ia merupakan antara syiar agama yang paling utama. Oleh yang demikian, Allah s.w.t. berfirman: bermaksud: “Dan hendaklah ada antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya.” (surah Ali ‘Imran 3: 104)

sampaikan-walau-sepotong-ayat-1

Menurut Ibn Kathir, ayat ini bermaksud hendaklah ada segolongan umat Islam yang melaksanakan kewajipan amar makruf nahi mungkar. Walaupun begitu, ia tetap tidak menafikan bahawa tanggungjawab amar makruf nahi mungkar ini merupakan tanggungjawab setiap individu Muslim sebagaimana yang telah dinyatakan dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim.

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa sahaja dalam kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mencegah dengan tangannya. Sekiranya tidak mampu berbuat demikian, maka hendaklah ia mencegah dengan lidah. Sekiranya tidak mampu juga, maka hendaklah ia mencegah dengan hati, dan mencegah dengan hati itu merupakan selemah-lemah iman.”

Dalam hadis yang lain, daripada Huzaifah bin al-Yaman bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Demi Zat yang jiwaku dalam genggaman-Nya, hendaklah kalian benar-benar menyuruh kepada yang makruf serta mencegah perbuatan yang mungkar atau (kalau tidak) Allah akan benar-benar memberikan seksaan untuk kalian daripada sisi-Nya, kemudian kalian berdoa dengan bersungguh-sungguh kepada-Nya, tetapi Dia tidak mengabulkan doa kalian.” (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi)

Selain itu, Allah s.w.t. telah berfirman yang bermaksud, bermaksud: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan mencegah daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” (Surah Ali Imran: 110)

Meneliti ayat ini, Allah s.w.t. telah mendahulukan seruan makruf dan mencegah berlaku mungkar kepada Allah. Justeru, para ulama menyatakan bahawa maksud iman itu perlu disuburkan dan dikawal serta dipelihara dengan amar makruf dan nahi mungkar.

Analoginya, iman umpama sepohon pokok. Pokok ini perlu disuburkan dengan siraman dan baja iaitu “amar makruf”. Di samping itu, bagi menjamin pokok ini tumbuh dengan baik dan sempurna hendaklah dijaga dan dikawal seperti memagari pokok tersebut dan menyembur racun perosak agar pokok tersebut tidak dihinggapi serangga dan parasit. Itulah yang dinamakan sebagai “nahi mungkar”.

sampaikan-walau-sepotong-ayat-2

Baru-baru ini ketika saya dalam suatu penerbangan, saya sempat berbual dengan penumpang yang duduk di sebelah saya. Beliau bersama-sama kumpulannya pulang dari England setelah membuat kerja “kebajikan” di Rwanda selama dua minggu. Kerja “kebajikan” mereka itu disokong kuat oleh pihak gereja Kristian. Dia menyatakan kepada saya bahawa apabila mereka balik, akan ada kumpulan lain pula silih berganti pergi ke sana untuk membuat perkara-perkara “kebajikan”.

Pendakwah Kristian begitu gigih berdakwah. Apa-apa sahaja ruang berdakwah untuk agama, akan mereka lakukan walaupun hanya dengan membantu orang susah, menziarahi orang sakit di hospital dan sebagainya. Mereka begitu gigih berdakwah sedangkan dakwah mereka itu adalah batil. Jadi, bagaimana pula dengan orang Islam yang berpegang dengan kebenaran ajaran Islam? Mengapakah usaha dakwah amat sedikit sedangkan kewajipan dakwah adalah wajib dan ia terletak pada diri semua orang. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Sampaikan daripadaku walau satu ayat.” Tetapi, berapa ramai daripada kita yang berusaha menyampaikan kebenaran dan mencegah kemungkaran?

Ustaz Dr. Mohd Sukki Othman
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No. 2


Dr. Mohd Sukki Othman

Sarjana Muda B. Arab dan Syariah, Universiti Yarmouk, Jordan. Sarjana Pengajian Islam, UKM. dan PhD dalam bidang I’jaz al-Quran, UM. Panelis Tanyalah Ustaz, TV9 ini merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM). Lebih daripada 12 buku karyanya telah berada di pasaran. Dekati beliau di www.ustazshauqi.com

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas