Menu

 

A+ A A-

MASUK ISLAM WAJIB BERKHATAN?

Berkhatan ialah satu amalan yang baik dan selari dengan fitrah. Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Lima perkara yang merupakan sebahagian daripada fitrah: berkhatan, mencukur bulu ari-ari, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur misai.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Tidak Berkhatan, Tidak Sah Islam

SOALAN : Benarkah seorang yang ingin memeluk Islam wajib berkhatan. Saya ada seorang kenalan berbangsa Cina yang berhasrat untuk memeluk Islam sejak berumur 20-an lagi tetapi dia menangguhkan hasratnya itu setelah diberitahu oleh seorang imam bahawa dia mesti berkhatan selepas memeluk Islam. Kini umurnya sudah sekitar 40-an.

JAWAPAN :

Dalam isu ini ada dua salah faham besar yang wujud dalam kalangan masyarakat Islam iaitu:

  1. Keislaman seseorang tidak sah jika tidak berkhatan. Berkhatan ialah perkara pertama yang wajib dibuat oleh seorang Muslim.
  2. Dua kenyataan ini sering disuguhkan kepada golongan mualaf yang mula berminat dengan Islam. Akibatnya, proses pengislaman mereka menjadi terbantut kerana mereka tidak bersedia untuk berkhatan. Masyarakat kita diperhatikan begitu menekankan hal berkhatan ini jika ada mualaf dengan mereka. Ada yang tidak segan-segan bertanya kepada golongan mualaf:

“Sudah berkhatan atau belum?” Bahkan sebelum itu lagi, kalau ada orang yang ingin menganut Islam, maka masyarakat akan bertanya kepada mereka: “Sudah bersediakah untuk di “potong” atau tidak?” Hakikatnya sikap ini sangat bertentangan dengan Islam.

Sebenarnya keislaman tidaklah bergantung kepada berkhatan atau tidak. Ini kerana berkhatan bukanlah syarat untuk mengesahkan keislaman seseorang. Pintu keislaman adalah dengan ucapan dua kalimah syahadah yang mentauhidkan Allah sebagai tuhan yang sebenar dan mengakui kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. Maka apabila seseorang mengucap dua kalimah syahadah dengan faham dan sedar, maka dia telah memeluk Islam. Dia telah menjadi Muslim. Semudah itu sahaja cara untuk menganut Islam.

islam

Punca Salah Faham

SOALAN :Jadi bagaimana boleh berlaku ramainya masyarakat termasuklah orang agama yang salah faham dalam hal ini?

JAWAPAN :

Ada beberapa sebab yang boleh dikaji antaranya:

  1. Kata-kata sebahagian ulama antaranya ‘Ata: “Tidak sempurna keislamannya (seseorang lelaki dewasa) hingga dia berkhatan walaupun umurnya sudah mencapai 80 tahun.”
  2. Pendapat umum yang masyhur menyatakan bahawa seolah-olahnya ibadah solat orang yang tidak berkhatan tidak sah. Tambahan pula, solat orang lain juga akan batal jika bersentuhan dengan orang yang tidak berkhatan ketika solat.

 Hukum Berkhatan

 SOALAN :Jadi berdasarkan hujah-hujah yang ustaz nyatakan, benarlah bahawa mualaf wajib berkhatan?

 JAWAPAN :

Sebenarnya para ulama berbeza pendapat tentang hokum berkhatan. Hal ini kerana ada juga dalil-dalil yang memberi gambaran bahawa berkhatan itu tidak wajib. Contohnya hadis yang bermaksud:“Berkhatan itu sunat bagi lelaki dan kemuliaan bagi wanita.” (Riwayat Ahmad)

Berikut adalah beberapa pendapat ulama:

  1. Wajib bagi lelaki dan wanita. Ini pendapat Imam al-Syafi‘i.
  2. Sunat bagi lelaki dan wanita. Ini pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Malik.
  3. Wajib bagi lelaki dan sunat bagi wanita. Perbezaan pendapat para ulama ini sebenarnya satu kebaikan dan rahmat jika kita mampu berinteraksi dengannya dengan baik. Jika kita mampu berlapang dada, itu ialah kebaikan yang besar. Dengan perbezaan pendapat para ulama, masyarakat mempunyai beberapa pilihan untuk diamalkan. Dalam konteks golongan mualaf, pilihlah pendapat yang sesuai dengan keadaan setiap individu. Jika dia mampu, berkhatanlah. Jika tidak mampu, maka buatlah penangguhan hingga ada kemampuan. Oleh kerana itu, Imam Hasan al-Basri menyatakan bahawa di ringankan kepada orang dewasa yang baru menganut Islam daripada berkhatan.

Rumusannya, boleh berkhatan dan boleh juga jika tidak mahu berkhatan. Masyarakat Islam diluar sana, janganlah membebankan atau menakutkan golongan mualaf dengan isu berkhatan. Itu bukanlah perkara besar. Sebaliknya soal keimanan merupakan isu yang paling besar.

islam 3

 

          

Ustaz Mohammad Nidzam Abdul Kadir (al-Jarumi)

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 08

 


 

Ustaz Mohammad Nidzam Abdul Kadir

Lulusan diploma KUSZA, Sarjana Muda Universiti al-Azhar, Kaherah dan Ijazah Sarjana dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Juga pengalaman pengajian di Pondok Pasir Tumboh. Kini pensyarah di UIAM. Boleh dihubungi di e-mel (nidiium@yahoo.com).

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

  

  

  

Kembali ke atas