Menu

 

A+ A A-

KHASIAT IMAN

Iman Meredakan Kesedihan

SEORANG wanita bernama Khansa’ begitu terkenal dengan ratapannya. Tangis dan sendu ketika kematian saudara lelakinya, Sakhar menjadi begitu dikenang semasa zaman jahiliah. Dari mulutnya, terlontarlah syair-syair yang begitu indah tetapi sangat menyedihkan tatkala dia meluahkan kesedihan. Bukan sahaja syair, bahkan matanya mengalirkan air mata yang mengharukan sesiapa sahaja yang melihat dan mendengarnya. Dia begitu sinonim dengan ratapan dan kesedihan akibat kematian orang yang tersayang.

Hidayah Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. turut singgah di hati wanita yang rawan ini. Kemanisan iman dan Islam mula bertapak di hatinya. Dia turut mengorbankan masa, dan nyawanya untuk menyalakan sumbu iman yang dicabar oleh musuh-musuh Allah. Khansa’ terpilih untuk turut serta dalam perang Qadisiyyah yakni peperangan untuk membebaskan negara Parsi pada zaman pemerintahan Amirul Mukminin Umar al-Khattab.

khasiat-iman-1

Khansa’ mempunyai empat orang putera. Keempat-empatnya terpilih menjadi mujahid untuk bertempur dengan tentera Parsi. Khansa’ sebagai ibu telah memberi kata-kata perangsang dan semangat untuk anak-anaknya. Antara kata-katanya:

“Wahai anak-anakku! Sesungguhnya kita memeluk agama Islam dengan sukarela dan berhijrah dengan kemahuan sendiri. Demi Allah, tidak ada khianat kepada bapamu, tidak merosakkan kemuliaanmu dan tidak menyimpang keturunanmu.”

Khansa’ menyambung lagi: “Sesungguhnya kamu mengetahui apa yang telah disediakan Allah untuk kaum Muslimin, iaitu pahala yang mencukupi kerana berjihad menentang musuh Allah. Ketahuilah olehmu, bahawa kampung yang kekal lebih baik daripada kampung dunia yang fana. Tuhan telah berfirman, maksudnya: ‘Wahai orang yang beriman! Sabarlah kamu dan tetaplah dalam kesabaran, teguhkan (pendirianmu) dan bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu beroleh kemenangan.’”

Pada keesokan harinya, keempat-empat putera Khansa’ menuju ke medan pertempuran dengan semangat dan penuh keberanian hasil dorongan dan nasihat ibunya. Mereka bertempur dengan musuh sehingga menemui syahid seorang demi seorang. Berita kesyahidan keempat-empat puteranya itu disampaikan kepada Khansa’. Adakah Khansa’ menangis, meratap atau memukul dadanya sepertimana yang dibuatnya semasa dia berada dalam jahiliah? Tidak! Khansa’ sebaliknya menerima berita itu dengan tenang dan sabar seraya mengucapkan:

“Segala puji bagi Allah yang telah memberikan kemuliaan kepadaku dengan syahidnya mereka. Aku mengharap kurnia daripada Ilahi untuk mengumpulkan aku bersama sama mereka di tempat rahmat dan nikmat Allah.” Apakah yang mengubah sikap Khansa’ sehingga perubahan itu bagaikan langit dan bumi? Ya, itulah kesan iman.

Iman Menghilangkan Ketamakan

Diriwayatkan oleh Muslim, pada suatu hari datang seorang lelaki yang menjadi tetamu Rasulullah s.a.w. Untuk melayaninya dengan baik, Rasulullah s.a.w. menghidangkannya susu yang diperah daripada seekor kambing. Kemudian lelaki itu minum sehingga habis. Rasulullah s.a.w.menambah susu yang diperah daripada kambing yang kedua. Lelaki itu minum lagi sehingga habis. Kemudian dihidangkan lagi susu daripada kambing yang ketiga, keempat, kelima, keenam dan ketujuh.

Pada malam itu, lelaki tersebut menerima dakwah Rasulullah s.a.w. dengan hati yang terbuka lalu memeluk Islam. Pada pagi esoknya dengan iman yang telah meresap di hati, lelaki tersebut menjadi tetamu Rasulullah s.a.w. sekali lagi. Dan sekali lagi Rasulullah menghidangkannya dengan susu kambing. Setelah habis susu itu diminum, Rasulullah s.a.w. menghidangkannya lagi dengan susu yang diperah daripada kambing yang kedua.

Kali ini lelaki itu tidak mampu lagi meminum kerana terasa sudah kenyang dan memadai. Pada ketika itulah Rasulullah s.a.w. mengucapkan kata-katanya yang begitu popular sehingga hari ini: “Sesungguhnya orang yang beriman itu minum dengan satu perut, sedangkan orang kafir minum dengan tujuh perut.”

khasiat-iman-2

Iman Meredakan Kemarahan

Umar al-Khattab r.a. pernah berkata tentang Umair bin Wahab (yakni ketika Umair datang ke Madinah dengan tujuan membunuh Rasulullah s.a.w.): “Babi lebih aku sukai daripada Umair bin Wahab.”

Namun, setelah Umair insaf dan mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan Rasulullah s.a.w., Umar bin al-Khattab sangat gembira, seraya berkata:“…tetapi saat ini aku lebih menyukai Umair daripada anak-anakku sendiri.”

Begitulah peribadi Umar yang meletakkan cinta dan bencinya hanya kerana Allah. Sabda Rasulullah s.a.w., mafhumnya: “Tiada cinta kepada orang Ansar kecuali orang Mukmin dan tiada yang membenci mereka kecuali orang munafik. Sesiapa yang kasih kepada sahabat Ansar, maka akan dikasihi Allah, dan sesiapa yang membenci, mereka dibenci Allah.”


Ustaz Pahrol Mohamad Juoi
Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 2


Pahrol Mohd Juoi

Seorang penulis buku, kolumnis majalah, pencipta lirik dan skrip, serta pengacara tv dan jurulatih berkelulusan UiTM, Shah Alam. Beliau berpengalaman mengendalikan program latihan dan motivasi untuk lebih 50 badan kerajaan dan swasta. Kini beliau sebagai Pengurus Besar dan Pengarah Penyelidikan di Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. Bukunya Tentang Cinta mendapat sambutan yang baik di  kalangan remaja terutamanya pelajar pusat pengajian tinggi.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  tbbk1289

GB0213  TBBK1267

 

 

Kembali ke atas