HUKUM IBU TUMPANG DAN BAYI TABUNG UJI
- Ditulis oleh Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil Noor
- Kategori Hukum
- Read 45555 times
Ibu tumpang ialah seorang wanita yang diupah untuk mengandung dengan memasukkan embrio hasil percantuman sperma dan ovum sepasang lelaki dan perempuan. Selepas dia bersalin dia akan menyerahkannya kepada pemilik ovum tersebut sebagai ibu hakiki. Di sebahagian negara Barat pendekatan ini yang disebut juga sebagai surrogate motherhood semakin diterima oleh masyarakat di sana.
Pasangan Bermasalah
Apakah hukum mengambil ibu tumpang bagi pasangan suami isteri yang didapati bermasalah kerana kerap mengalami keguguran?
Hukum pengambilan ibu tumpang dengan tujuan untuk mendapatkan anak adalah haram. Maka urusan penyewaan tersebut adalah batil dan tidak boleh diambil.
Begitu juga hukum menjadi ibu tumpang adalah haram. Ini ialah pendapat yang dikeluarkan olah badan fiqah Islam antarabangsa atas hujah ia akan terdedah kepada pencampuran nasab dan perbalahan antara pemilik ovum dan wanita yang diupah mengandung itu.
Madu Jadi Ibu Tumpang
Bagaimana jika ibu tumpang itu ialah madu? Boleh jadi seorang itu berkahwin dua namun salah seorang isterinya tidak boleh mengandung. Maka isterinya yang seorang lagi bersetuju untuk menjadi ibu tumpang.
Majma‘ Fiqh al-Islami pada persidangan pertamanya mengeluarkan keputusan bahawa harus hukumnya jika ibu tumpang itu madu kepada si perempuan sebagaimana dalam kes yang dibawa. Saya fikir mungkin asasnya dilihat dari sudut si ayah yang satu.
Cuma terdapat seorang alim yang tidak bersetuju pada ingatan saya tentang isu ini. Jadi pada persidangan kedua, perkara ini dibincangkan semula. Hasilnya pada persidangan tersebut, Majma‘ mengeluarkan keputusan mengharamkannya. Asasnya kerana ia termasuk dalam soal pencampuran nasab, perbalahan antara pemilik ovum dan pemilik rahim dan kadang-kadang membawa kepada penindasan orang kaya ke atas golongan miskin.
Persenyawaan menggunakan teknik IVF
IVF
Bagaimana pula dengan teknik IVF atau biasa disebut sebagai bayi tabung uji?
Bayi tabung uji ialah bayi yang dilahirkan oleh seorang wanita hasil daripada persenyawaan ovumnya dengan sperma suaminya di luar tubuh wanita itu.
Antara nikmat yang Allah berikan kepada kita pada zaman ini adalah penemuan kaedah IVF (In Vitro Fertilization). Kesannya banyak pasangan yang tidak boleh mendapatkan anak secara biasa iaitu dengan hubungan kelamin boleh menggunakan rawatan ini. Maka dengan bantuan alat ini, pasangan yang inginkan anak boleh mendapatkannya. Jadi penggunaan IVF adalah harus dengan syarat air mani dan ovum itu adalah daripada pasangan itu sendiri bukan daripada orang lain.
Asasnya, Islam tidak menentang matlamat yang dibolehkan untuk mendapatkan anak. Bahkan kaedah ini boleh dianggap sebagai rawatan kepada penyakit mandul. Nabi sendiri bersabda: “Berubatlah wahai hamba-hamba Allah kerana Allah tidak akan menurunkan penyakit melainkan ada ubatnya.” (Riwayat Abu Dawud)
Ikat Rahim
Sebut fasal kemandulan, apa pula hukum sengaja mengikat rahim atau peranakan supaya wanita tidak dapat mengandung lagi atau dengan pengambilan ubat?
Hukum sengaja memandulkan diri adalah haram mengikut pandangan majoriti ulama. Tindakan ini dikira sebagai perbuatan merubah ciptaan Allah. Tambahan pula ia bertentangan dengan kehendak syarak yang ingin melihat pertambahan zuriat bukannya pengurangan.
Pilih Jantina
Saya difahamkan bahawa ada satu kaedah yang membolehkan kita untuk menentukan jantina janin yang ingin dilahirkan. Apa hukumnya?
Pemilihan janin bermaksud penggunaan kaedah pemilihan jantina daripada ibu bapa dengan melakukan kaedah perubatan moden. Ia berlaku dek keinginan ibu bapa untuk memilih anak lelaki atau perempuan.
Mungkin sesebuah pasangan itu telah memiliki anak perempuan yang ramai dan tidak memiliki anak lelaki, maka pasangan itu menggunakan kaedah rawatan moden ini untuk mendapatkan anak lelaki. Namun semua yang berlaku hanya dengan izin Allah.
Ada dua pendapat ulama dalam masalah ini:
- Haram. Tindakan ini dikira sebagai mencampuri urusan Allah dan tidak menerima takdir.
- Harus. Sebagaimana kita boleh berdoa kepada Allah untuk mendapat anak lelaki atau perempuan, maka kita boleh berusaha untuk itu.
Cuma keharusan ini hendaklah pada peringkat individu, bukannya secara makro atau campur tangan kerajaan. Boleh jadi sebuah negara itu ingin meramaikan lelaki, lalu rakyatnya diarahkan agar melahirkan anak lelaki dengan kaedah ini. Akhirnya ia akan membawa kepada pelupusan salah satu jantina. Ada satu kaedah usul berbunyi: Kadang-kadang sesuatu perkara dibolehkan kepada individu, tetapi tidak dibolehkan kepada masyarakat.
Wallahu a‘lam
USTAZ AHMAD FAUWAZ FADZIL
Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 09
Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil Noor
Sarjana Muda Syariah, Universiti al-Azhar, 2004. Mendapat Sijil Kemahiran Fatwa, Darul Ifta’ Mesir, 2008. Berguru secara langsung dengan ramai ulama besar antaranya Syeikh Ali Jumaah, Mufti Mesir, Dr. Taha Jabir al-Ulwani dan Dr. Mohammad al-Zuhaili. Kini sebagai Pegawai Perhubungan Korporat dan Penasihat Syariah Pelima Media Sdn. Bhd.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.