Menu

 

A+ A A-

DAKWAH UNTUK SEMUA

MOHON ustaz jelaskan maksud dakwah di jalan Allah?

Dakwah dari sudut bahasa bermaksud mengajak. Manakala menurut istilah syarak pula, beberapa pengertiannya telah dikemukakan oleh para ulama. Menurut Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah: “Dakwah kepada Allah ialah mengajak untuk beriman kepada-Nya, berdasarkan apa yang telah dibawa oleh Rasul-Nya, iaitu dengan membenarkan apa yang dikhabarkan oleh mereka serta mentaatinya.” (Majmu’ al-Fatawa, jil. 15, hlm. 157)

Bagaimana pula dengan pandangan ulama lain?

Menurut Dr. al-Sayyid Muhammad al-Wakil ketika mentakrifkan perkataan dakwah menyatakan bahawa dakwah kepada Allah bermaksud menghimpunkan manusia atas kebaikan serta menunjukkan jalan kebenaran kepada mereka iaitu dengan melaksanakan menyeru makruf dan mencegah mungkar.

Hal ini berdasarkan firman Allah dalam surah Ali ‘Imran ayat 104 yang bermaksud: “Dan hendaklah ada antara kamu satu kumpulan yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya.” (Usus al-Da‘wah wa Adab al-Du‘at, hlm. 9)

Manakala Syeikh Fathi Yakan pula menyatakan bahawa dakwah adalah perbuatan meruntuhkan dan membina semula. Maksudnya ialah meruntuhkan segala bentuk jahiliah sama ada yang melibatkan pemikiran, akhlak, sistem dan sebagainya. Selepas itu dibina masyarakat Islam atas dasar dan acuan Islam sama ada dari segi luaran mahupun dalaman, juga dalam sistem perundangan dan cara hidup. (Al-Islam; Fikrah-Harakah-Inqilab, hlm. 39)

dakwah-untuk-semua-1

Boleh ustaz rumuskan pengertian dakwah?

Berdasarkan definisi beberapa tokoh ulama Islam tersebut, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa dakwah bukan sekadar bermaksud mengajak semata-mata, akan tetapi ia juga meliputi usaha membina dan membentuk masyarakat ke arah Islam dalam usaha merealisasikan pengabdian diri hanya kepada Allah s.w.t.

Saya inginkan kepastian, adakah golongan ustaz dan ustazah sahaja yang layak untuk berdakwah?

Setiap manusia berkemampuan untuk mengajak manusia ke arah kebaikan serta memandu masyarakat ke jalan yang diredai Allah. Tanggungjawab dakwah bukan hanya terletak di bahu ustaz atau tuan guru sahaja. Malah setiap individu perlu melakukan usaha dakwah mengikut kemampuan yang dimiliki. Tidak kira siapapun jua baik dia seorang doktor, jurutera, ahli astronomi, ahli sejarah, ahli farmasi, petani, ahli perniagaan, pekerja kilang, pemandu teksi dan sebagainya. Semua orang berkemampuan untuk menjadi pendakwah di jalan Allah s.w.t.

Sebagai contoh kes di sini, bagaimana seorang pekerja kilang boleh melakukan usaha dakwah?

Terdapat pelbagai cara dan kaedah untuk berdakwah di jalan Allah. Pertamanya, hendaklah dia bersungguh-sungguh dalam pekerjaannya dengan niat mendapat keredaan Allah. Seterusnya dia berusaha memberikan manfaat kepada orang lain dengan ilmu pengetahuan dalam bidang yang diceburi. Setiap orang ada pekerjaan hariannya. Jadi adalah lebih baik sekiranya dia mengambil peluang semasa di tempat kerjanya dengan banyak memberikan manfaat sebanyaknya kepada orang lain. Ini juga merupakan satu dakwah.

Sebenarnya bagi seorang individu Muslim, keseluruhan hidupnya adalah demi dakwah di jalan Allah. Sehubungan dengan itu, seorang Muslim yang mempunyai kepakaran dalam bidang pekerjaannya sudah tentu akan menarik minat orang lain untuk mendekatinya. Maka di sinilah jalan dakwah yang terbentang luas untuknya. Oleh sebab itu, dakwah merupakan perkara wajib yang mampu dilakukan oleh setiap individu Muslim.

dakwah-untuk-semua-2

Selain kaedah yang disebutkan, adakah terdapat kaedah lain untuk berdakwah di jalan Allah?

Mewujudkan suasana persekitaran yang baik juga merupakan dakwah di jalan Allah. Di mana-mana sahaja kita berada, kita berkewajipan untuk membentuk suasana persekitaran ke arah keimanan kepada Allah. Contohnya suami sebagai ketua keluarga wajib menjadikan persekitaran atau budaya dalam rumah tangga berasaskan nilai-nilai Islam yang suci murni. Begitu juga apabila berada di tempat kerja, kita hendaklah menyumbang usaha mewujudkan suasana yang menuju ke arah hidayah Allah.

Manakala pihak kerajaan yang bertanggungjawab terhadap masyarakat dan negara pula wajib memastikan usaha dakwah dilakukan secara berterusan iaitu dengan mewujudkan suasana yang soleh dalam masyarakat, bukannya budaya songsang, hedonisme dan sebagainya yang mengundang kemurkaan Allah s.w.t.

Dr Mohd Sukki Othman
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.4


Dr. Mohd Sukki Othman

Sarjana Muda B. Arab dan Syariah, Universiti Yarmouk, Jordan. Sarjana Pengajian Islam, UKM. dan PhD dalam bidang I’jaz al-Quran, UM. Panelis Tanyalah Ustaz, TV9 ini merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM). Lebih daripada 12 buku karyanya telah berada di pasaran. Dekati beliau di www.ustazshauqi.com

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas